CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

November 12, 2011

Jus Markisa Air Tangan CK

Salam kepada semua.  Baru-baru ini mak cik CK ada beri buah markisa untuk CK.  Wahh, kesian kan pertama kali CK merasa buah markisa ini.  CK tak pasti rasa sebenar buah ini.  Mulanya CK rasa buah ini agak masam-masam manis rasanya. Jom kita kenal serba sedikit tentang buah ini.

Buah ini merupakan sejenis tanaman dari Genus Passiflora dan merupakan buah-buahan dari jenis beri. Ia mempunyai perikarp tebal dengan kulit seperti cangkerang yang rapuh. Buah markisa mempunyai biji yang banyak seperti jeli. 

 Pokoknya menjalar seperti pokok petola

Untuk pengetahuan semua, terdapat 2 jenis markisa di Malaysia yang diusahakan, iaitu markisa yang mempunyai buah yang berwarna ungu dan buah yang bewarna kuning. Di percayai buah yang bewarna ungu mempunyai rasa yang masam. Buah markisa ungu sesuai dimakan mentah dan dimasak sebagai sayur, manakala markisa kuning sesuai dijadikan jus. Kulit buah markisa juga dikatakan boleh djadikan makanan ternakan.


Malam itu, CK boleh duduk termangu memandang ke arah buah ini. kelakar jugak rasanya bila memikirkan cara supaya rasa buah ini serasi dengan lidah CK disebabkan rasanya membuatkan ianya tidak serasi dengan lidah CK.  Tiba-tiba  terlintas di fikiran untuk dijadikan jus.

Langkah pertama :-
 Masukkan gula mengikut citarasa masing-masing

Langkah kedua :-

  Masukkan isi buah markisa tadi yang telah dibelah dua. Disebabkan hidangan hanya untuk seorang CK hanya gunakan separuh daripada isi buah tersebut saja.

Langkah ketiga :-
 Setelah itu masukkan air panas dan sedikit air sejuk supaya ianya tidak terlalu panas. kacau sehingga sebati dan sedia untuk dihidang.

* Bagi sesiapa yang inginkan ianya sejuk maka bolehlah tambah sedikit kiub aisnya ke dalamnya.  Selamat mencuba ! ^_^



November 7, 2011

Rasulullah Pun Buat Kerja-Kerja Rumah

Salam kepada semua dan Salam Hari Raya Aidiladha.  Semoga ibadah Haji kali ini dijalani dengan penuh keberkatan.

CK tertarik dengan satu artikel yang dipetik di dalam majalah SOLUSI keluaran baru-baru ini.  Walaupun CK masih lagi belum memasuki ke alam rumah tangga dan masih berada di peringkat usia yang muda namun tidak salah jika pengetahuan ini dikongsi bersama pembaca sekaligus dijadikan ikutan dan tuntutan demi kesejahteraan hidup bersama.    

RASULULLAH PUN BUAT KERJA-KERJA RUMAH


Terdapat banyak juga riwayat yang menjelaskan bahawa Rasullullah s.a.w. sendiri sebagai seorang Rasul sekali gus sebagai pemimpin Negara, turut memberi khidmat dan membantu isterinya.  Sebagai contoh, dalam satu riwayat daripada al-Aswad bin Yazid :

Aku bertanya kepada Aisyah : ‘Apa yang Nabi s.a.w. kerjakan di rumah?’ Aisyah menjawab : ‘Baginda sentiasa melayani isterinya yakni membantu isterinya membuat kerja-kerja rumah.  Maka apabila masuk waktu solat, Baginda pun keluar untuk solat (ke masjid).” (Riwayat al-Bukhari)

Hadis di atas disokong oleh hadis-hadis lain yang menceritakan Baginda s.a.w sendiri menjahit baju, mencuci pakaian, menampal kasut, memerah susu dan lain-lain, sebagaimana beberapa hadis riwayat Ahmad daripada Hisham bin Urwah.

Justeru jelaslah bahawa mengurus rumah dengan membantu isteri itu sunnah Rasulullah s.a.w dan amalan tersebut bukanlah sebagaimana anggapan sebahagian masyarakat kita sebagai “queen control”.  Maka perbuatan tersebut hendaklah dikekalkan demi kerukunan dan kebahagiaan rumah tangga.

Ia juga bersesuaian dengan budaya masyarakat Melayu iaitu kerja-kerja berat biasanya menjadi kewajipan suami manakala kerja-kerja ringan biasanya menjadi kewajipan isteri.