CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

March 14, 2011

Jauh Perjalanan Luas Pemandangan.

Orang kata jauh perjalanan luas pemandangan.  Jumaat, 11 Mac 2011 bermulalah perjalanan aku bersama adik dari Shah Alam menuju ke Gombak.  Hurmm, dari Shah Alam ke Gombak saja.  Jauh apanya.  Taklah jauh manapun. kasi gempak saja tajuk kat atas tu ya.  hehe... Sebaik pulang saja dari tempat praktikal petang itu aku dan adik segera bersiap-siap.  Hati tak sabar untuk berjumpa dengan keluarga Mak Ngah, kakak kepada arwah ibu aku saat kaki menapak ke stesen KTM Shah Alam Sek. 19.  Almaklumlah, serasanya lama tak berjumpa dengan mereka. Rasa rindu itu sudah semestinya ada apatah lagi sejak arwah ibu aku meninggal.  Jarang kami berkumpul seperti dulu.  Itupun jika kadangkala berkesempatan untuk berjumpa.  kami buat keputusan untuk bermalam di rumah Mak Ngah ini pun adalah keputusan saat-saat akhir.  
Tak rancang pun sebenarnya dan dalam diam hati aku bertambah riang sesampai saja kami di stesen LRT Taman Melati sambil menunggu kakak sepupuku, Kak Angah menjemput kami di stesen berkenaan.  Cuaca malam itu tidak berapa mengizinkan, agak renyai-renyai.  Aku anggap saja hujan pada Jumaat itu adalah hujan rahmat.
     Pak Ngah dan Mak Ngah
Siang hari perut berlapikkan lauk masak asam pedas ikan belanak hasil air tangan Mak Ngah.  Sangat  menyelerakan sehingga berkali tambah nasi dalam pinggan aku.  Berapa kali tambah?  Shh.. itu rahsia.  hehe... Serasa dah lama aku tak merasa masakan seenak itu. 
Mak Lang dan Pak Lang

Gambar yang di atas ini adalah Mak Lang, juga kakak kepada arwah ibu dan Pak Lang aku.  Dengar saja aku dan adik di Gombak, Mak Lang terus buat keputusan ke Gombak semata-mata untuk berjumpa aku dan adik.  Rasa terharu sangat. Sesampai saja ke Gombak terus ditarik adik aku baring dipangkuan dia.  Begitu juga aku.  Sebak rasanya kerana aku rasa seolah-olah aku sedang baring dipangkuan arwah ibuku sendiri.  Tiba-tiba kerinduan terhadap arwah ibu terbit semula.  Peritnya rasa hati namun aku simpan jauh-jauh.  Hampir terlena seketika aku dipangkuannya.  Mak Lang bukan datang dengan tangan kosong saja tau.
Ini pula santapan kami di waktu malam.  Nasi impit, kuah lodeh berserta dengan rendang daging yang sedikit membuat kepala aku berpusing seketika seusai makan.  Namun, semua itu tidak menghalang aku untuk menjamu makanan tersebut.  Pedulikan semua rasa itu, buang jauh ke tepi.  Apa yang penting aku menghargai hasil air tangan mereka.  Bukan selalu aku berkesempatan untuk merasai nikmat sebegitu.  Apabila berpeluang merasai nikmat seperti inilah aku akan menikmatinya sepuas-puas hati aku.  Saat itulah kami berkumpul bersama saling berkongsi cerita, rahsia...  sudah semestinya.  huhu... bergelak tawa dan tangis.   Sehinggakan kadangkala hati aku berat sekali saat aku ingin beransur pulang kerana setiapkali pulang setiap inci kenangan bersama mereka sentiasa mengekoriku. Kerana adanya mereka membuatkan kerinduan aku terhadap arwah ibu kembali terubat walaupun sedikit cebisan yang dirasa, aku puas.