CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

November 7, 2011

Rasulullah Pun Buat Kerja-Kerja Rumah

Salam kepada semua dan Salam Hari Raya Aidiladha.  Semoga ibadah Haji kali ini dijalani dengan penuh keberkatan.

CK tertarik dengan satu artikel yang dipetik di dalam majalah SOLUSI keluaran baru-baru ini.  Walaupun CK masih lagi belum memasuki ke alam rumah tangga dan masih berada di peringkat usia yang muda namun tidak salah jika pengetahuan ini dikongsi bersama pembaca sekaligus dijadikan ikutan dan tuntutan demi kesejahteraan hidup bersama.    

RASULULLAH PUN BUAT KERJA-KERJA RUMAH


Terdapat banyak juga riwayat yang menjelaskan bahawa Rasullullah s.a.w. sendiri sebagai seorang Rasul sekali gus sebagai pemimpin Negara, turut memberi khidmat dan membantu isterinya.  Sebagai contoh, dalam satu riwayat daripada al-Aswad bin Yazid :

Aku bertanya kepada Aisyah : ‘Apa yang Nabi s.a.w. kerjakan di rumah?’ Aisyah menjawab : ‘Baginda sentiasa melayani isterinya yakni membantu isterinya membuat kerja-kerja rumah.  Maka apabila masuk waktu solat, Baginda pun keluar untuk solat (ke masjid).” (Riwayat al-Bukhari)

Hadis di atas disokong oleh hadis-hadis lain yang menceritakan Baginda s.a.w sendiri menjahit baju, mencuci pakaian, menampal kasut, memerah susu dan lain-lain, sebagaimana beberapa hadis riwayat Ahmad daripada Hisham bin Urwah.

Justeru jelaslah bahawa mengurus rumah dengan membantu isteri itu sunnah Rasulullah s.a.w dan amalan tersebut bukanlah sebagaimana anggapan sebahagian masyarakat kita sebagai “queen control”.  Maka perbuatan tersebut hendaklah dikekalkan demi kerukunan dan kebahagiaan rumah tangga.

Ia juga bersesuaian dengan budaya masyarakat Melayu iaitu kerja-kerja berat biasanya menjadi kewajipan suami manakala kerja-kerja ringan biasanya menjadi kewajipan isteri.